mutakhir

Guru KAFA terima penghargaan [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

"DENGAN izin Allah SWT, saya berada di tempat dan masa yang tepat untuk membantu empat remaja perempuan itu daripada lemas."

Begitu kata Muhammad Nor Imran Maula Abd Jalil, 31, apabila menerima penghargaan polis selepas menyelamatkan empat remaja perempuan yang hampir lemas dalam tali air di Kilometer 28 Jalan Bota Kiri-Ulu Dedap, Kampung Gajah dekat Bota, kelmarin.

Guru Sekolah Rendah Agama Rakyat Muhammadiah, Hutan Melintang itu berkata, dia tidak mengharapkan balasan kerana melakukannya dengan ikhlas, namun mengaku terharu menerima penghargaan terbabit.

Bagaimanapun katanya, usaha itu tidak dilakukan seorang diri kerana turut dibantu pasangan suami isteri yang memberi bantuan pernafasan kepada seorang mangsa.

"Saya berterima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberi penghargaan. Saya berharap ia memberi kebaikan kepada orang lain supaya dapat membantu sesiapa saja yang memerlukan bantuan.

"Pengalaman berenang hampir 30 minit dengan memakai seluar jeans dan berdepan arus yang deras tidak akan dilupakan. Ketika itu jika ditakdir saya 'pergi', saya berharap dapat selamatkan mereka dahulu," katanya.

Muhammad Nor Imran berkata demikian ketika ditemui selepas menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di Hutan Melintang, hari ini.

Keberanian guru itu turut mendapat perhatian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dan Pejabat Agama Islam Daerah Bagan Datuk yang menyampaikan cenderamata serta penghargaan.

Menurutnya, ahli keluarga mangsa juga ada yang menghubunginya dan berterima kasih dengan bantuan diberikan.

"Dengan izinNya juga, saya bersyukur kami masih diberi peluang bernafas. Justeru, sijil penghargaaan ini akan dijadikan kenangan," katanya.

Sementara itu, Barudin berkata, keberanian Muhammad Nor Imran yang sanggup menggadai nyawa demi menyelamatkan mangsa layak menerima penghargaan.

"Kita harap apa yang dilakukan beliau dapat menjadi contoh dan tauladan kepada rakyat negara ini supaya sedia membantu," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan guru itu yang sanggup mengambil risiko wajar dipuji biarpun membahayakan nyawa sendiri.

"Semua mangsa yang terbabit dalam kejadian itu juga didoakan segera pulih sepenuhnya," katanya.

Dalam kejadian pada 12.05 tengah hari, empat remaja perempuan dihanyutkan arus selepas kereta dinaiki bersama seorang lagi rakan terbabas ke dalam tali air berkenaan.

Bagaimanapun, seorang mangsa berjaya menyelamatkan diri dan meminta bantuan daripada Muhammad Nor Imran.

Disiarkan pada: May 29, 2020 @ 3:27pm
d