mutakhir

Marah sampai bakar kereta bapa mentua

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

BERANG bapa mentua masuk campur pertengkaran dengan isteri, seorang lelaki bertindak luar batasan apabila membakar kenderaan milik warga emas itu di tepi Jalan Senggang, Parit, kelmarin.

Dalam kejadian 11 malam itu, suspek berusia 41 tahun dikatakan bertengkar dengan isterinya yang berusia 34 tahun di rumah bapa mentua di Tanjung Belanja, Parit.

Difahamkan, bapa mentua suspek yang berusia 68 tahun cuba meleraikan pertengkaran itu namun tindakan pesara terbabit mengundang rasa tidak puas hati suspek.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, selepas kejadian itu suspek keluar dari rumah dan tidak pulang.

Bagaimanapun katanya, mangsa menyedari Perodua Myvi miliknya yang diparkir di halaman rumah sudah tiada pada 7 pagi semalam.

"Kereta mangsa kemudian ditemui sudah hangus terbakar 100 peratus di lokasi kejadian pada 1.30 tengah hari, hari sama.

"Mangsa percaya kereta berkenaan adalah miliknya berikutan terdapat empat sport rim berwarna hijau di tepi jalan yang serupa dengan keretanya," katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, suspek mempunyai kunci pendua kereta terbabit dan mangsa turut mendapati minyak kapal yang disimpan menantunya di tepi garaj sudah tiada.

Katanya, suspek dipercayai melarikan kereta berkenaan sebelum membakarnya.

"Selepas kejadian itu suspek yang berkerja di Kuantan, Pahang melarikan diri ke bandar itu berjaya ditahan pada 8.15 malam tadi," katanya.

Barudin berkata, suspek sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah untuk tindakan lanjut.

"Permohonan reman akan dibuat esok bagi menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: May 29, 2020 @ 3:39pm
d