mutakhir

Tak sempat seludup 3.3 tan ketum [METROTV]

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

CUBAAN enam lelaki menyeludup lebih 3.3 tan daun ketum ke negara jiran digagalkan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis, hari ini.

Kumpulan terbabit dilapor menggunakan enam kereta yang diubahsuai dan menggunakan 'jalan tikus' di Jalan Pida 15 - Kampung Tok Pulau, Sanglang di Kangar untuk 'mengeksport' daun ketum dianggarkan bernilai RM165,000 itu ke Thailand.

Usaha ahli sindiket bagaimanapun digagalkan pasukan risik AKSEM Perlis selepas mengejar enam kenderaan itu sebelum ditahan satu kilometer daripada sempadan Kedah-Perlis.

Komander AKSEM Perlis, Deputi Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, dalam kejadian jam 7.15 pagi itu, pihaknya berjaya menahan dua daripada enam ahli sindiket berusia 20 tahun.

Mengulas kejayaan itu, Rodzi berkata, pasukannya terpaksa mengejar kenderaan digunakan sindiket sebelum berjaya dikepung satu kilometer dari sempadan Kedah-Perlis sebaik kumpulan itu menyedari diekori anggota risik AKSEM.

"Siasatan awal mendapati, sindiket ini mensasarkan jalan tikus di dalam kawasan kampung dan beranggapan tiada rondaan akan dilakukan pihak keselamatan di kawasan itu," katanya pada sidang media di Kompleks AKSEM Kuala Perlis, di Kangar, hari ini.

Menurutnya, sindiket berkenaan disyaki berpangkalan di Kedah dan turut mengubahsuai kenderaan digunakan mereka.

"Setiap kereta diubahsuai di bahagian tempat simpanan barang yang mampu memuatkan antara 500 hingga 550 kilogram daun ketum.

"Hasil soal siasat awal terhadap dua suspek, mereka mengakui menerima upah sebanyak RM600 setiap orang dan sedang dalam perjalanan ke sempadan Thailand. Malah, mereka turut mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan daun ketum," katanya.

Katanya, kesemua barangan rampasan berupa daun ketum dan enam kereta jenis Proton Inspira, Toyota Camry dan Lancer dirampas dan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar.

"Jumlah atau nilai kereta yang dirampas dianggarkan bernilai RM300,000. Jadi, keseluruhannya termasuk rampasan daun ketum, mencecah RM465,000," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan suspek akan dibawa reman dalam masa terdekat.

Disiarkan pada: May 29, 2020 @ 3:48pm
d