mutakhir

KPDNHEP Melaka rampas barangan lebih RM300,000

Oleh BERNAMA

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka merampas pelbagai barangan bernilai RM325,219.77 membabitkan 97 kes dalam tempoh 1 Januari lalu sehingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Ismail Othman berkata 42 kes membabitkan Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (37 kes), Akta Kawalan Bekalan 1961 (lapan kes), Akta Cap Dagang 2019 (lima kes), Akta Perihal Dagangan 2011 (tiga kes) dan Akta Perlindungan Pengguna 1999 (dua kes).

Beliau berkata dalam tempoh itu juga, sebanyak RM35,850 kompaun dan denda berjumlah RM49,000 turut dikenakan kepada peniaga yang dikesan melakukan kesalahan terbabit.

"Sebanyak 8,730 premis perniagaan diperiksa dan sebanyak 381 aduan diterima dalam tempoh tersebut. Daripada jumlah itu, sebanyak 366 aduan berjaya diselesaikan.

"Bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mula dilaksanakan pada 18 Mac sehingga semalam, sebanyak 32 kesalahan dikesan dilakukan peniaga," katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan di Pasar Besar Melaka di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Pengarah KPDNHEP Melaka Norena Jaafar.

Ismail berkata kesalahan yang dikesan paling banyak dilakukan peniaga dalam tempoh PKP dan PKPB ialah di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dengan 24 kes diikuti kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (enam kes) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 (dua kes).

Beliau berkata sebanyak RM8,900 kompaun dikeluarkan kepada peniaga terbabit dan barangan bernilai RM1,670.62 dirampas.

"Sebanyak 40 notis turut dikeluarkan termasuk 31 daripada notis tersebut melibatkan isu harga ayam serta 2,515 premis diperiksa dalam tempoh PKP dan PKPB," katanya.

Beliau berkata pemantauan dan pemeriksaan di semua premis perniagaan di negeri ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dengan pembabitan kira-kira 20 anggota penguat kuasa KPDNHEP Melaka dan lebih 6,000 orang 'Friends of KPDNHEP' bagi menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan yang dilakukan peniaga.

Disiarkan pada: May 29, 2020 @ 4:36pm
d