mutakhir

Instafamous didenda RM3,000 tawar khidmat seks

Oleh BERNAMA

'INSTAFAMOUS' dikenali sebagai 'Papaicici' didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini selepas mengaku bersalah menawarkan khidmat seks kepada seorang anggota polis.

Majistret Mohamed Fared Abdul Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap Rayndi Jubidi, 29, yang dituduh menawarkan perkhidmatan seks kepada anggota terbabit dengan bayaran RM150 bagi sekali perkhidmatan.

Lelaki itu yang hadir di mahkamah berkemeja-T putih dan berseluar jeans biru ketat serta menyanggul rambutnya, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 6.50 petang, 27 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman berbentuk denda minimum.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Tertuduh kemudian membayar denda itu.

Disiarkan pada: May 29, 2020 @ 5:53pm
d