mutakhir

Air mata bilal

Oleh Nazri Abu Bakar

SEORANG bilal menitiskan air mata apabila buat pertama kali masjid kembali berjemaah selepas lebih dua bulan ia hanya dilakukan bersama tiga ahli kariah sahaja.

Sulaiman Ahmad, 56 berkata, hari ini detik bersejarah berikutan melihat masjid kembali dipenuhi jemaah selepas penduduk di negeri ini diberi kebenaran solat Jumaat.

Hari ini, kerajaan negeri memberi kebenaran solat Jumaat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu menyebabkan dia amat bersyukur dengan keizinan berkenaan.

"Setiap hari dalam tempoh terbabit saya bersama dua lagi jemaah menunaikan solat fardu termasuk Ramadan dan solat Aidilfitri sememangnya amat dirasai kesunyian tanpa kehadiran mereka.

"Namun, ia tetap disyukuri berikutan semua ada rahmat tersembunyi yang perlu kita renungkan dalam masa sama mendidik diri untuk terus taat kepada Allah SWT," katanya yang juga bilal Masjid Kampung Paya Rumput di sini.

Sementara itu, jemaah Masjid Al-Muhtadi, Ramuan China Besar, Masjid Tanah turut bersyukur kerana dapat kembali menunaikan solat Jumaat walaupun secara bergilir pada minggu berikutnya kelak.

Pengerusi Masjid, Maaris Rokman berkata, 40 jemaah dibenarkan menunaikan solat juga turut menerima nasi hujan panas sumbangan Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata, hari berkenaan sejarah baru dicipta oleh ahli kariah yang selama ini tidak dapat menunaikan solat Jumaat bagi mengekang pandemik Covid-19.

Pematuhan Standard Prosedur Operasi (SOP) yang ketat mendidik jemaah untuk mementingkan ciri keselamatan diri termasuk penjarakan sosial.

Disiarkan pada: May 29, 2020 @ 5:57pm
d