mutakhir

Tebing runtuh punca banjir kilat di Taman Nuri

Oleh Nazri Abu Bakar

KEJADIAN tebing runtuh sehingga menutup sistem saliran dan banjir kilat di Taman Nuri, Durian Tunggal, Alor Gajah akan diperbaiki segera.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal, Datuk Ismail Ibrahim berkata, aduan yang diterima daripada orang ramai berkenaan sudah diambil perhatian dan dibawa kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Daerah Alor Gajah.

Beliau yang meninjau kerosakan berkenaan selepas hujan lebat kelmarin mendapati tanah runtuh berhampiran taman permainan di taman berkenaan menyebabkan air hujan melimpah di dua rumah yang berada di kawasan terbabit.

"Jika tidak diambil tindakan segera sudah pasti ia akan memberi masalah kepada penduduk termasuk air yang bertakung menyebabkan pembiakan nyamuk aedes sekali gus menjejaskan aktiviti harian mereka.

"Cuaca tidak menentu selain hujan lebat antara faktor tanah runtuh dan menutup saluran di kawasan itu. Apapun, kami mengalu- alukan sebarang masalah penduduk untuk diambil tindakan sewajarnya dalam masa membantu mengatasi isu berbangkit terutama kemudahan infrastruktur dalam kalangan komuniti," katanya.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Setiausaha Japerun Durian Tunggal Mohd Amirul Basiron bagi meninjau kerosakan stuktur longkang sepanjang 10 meter itu.

Sementara itu, ahli majlis MPAG, Borhan Md Aras berkata, perkara berkenaan sudah sampai ke pengetahuan PBT terbabit dan usaha baik pulih diharap bakal dilakukan dalam tempoh terdekat.

Disiarkan pada: May 30, 2020 @ 2:52pm
d