mutakhir

Terus buru dan tangkap Pati

Oleh Murni Wan Omar dan Raja Noraina Raja Rahim

PIHAK berkuasa akan terus memburu dan menangkap pendatang asing tanpa izin (Pati) walau di mana mereka berada.

Tegas Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memaklumkan tindakan penguatkuasaan itu tidak hanya tertumpu di kawasan bandar tetapi turut membabitkan kawasan pinggir bandar.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sentiasa menjalankan operasi penguatkuasaan bagi memantau dan mengekang kehadiran Pati di negara ini.

"Tindakan mengesan dan menangkap Pati berterusan tidak kiralah waktu Covid-19, sebelum dan selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), juga tidak kira di Kuala Lumpur, luar Kuala Lumpur dan di mana saja.

"JIM dan agensi penguatkuasaan lain akan terus menjalankan tugas mereka memburu dan menangkap Pati," katanya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya, hari ini.

Harian Metro hari ini melaporkan, selepas menguasai dan 'menjajah' beberapa lokasi utama sekitar ibu negara, warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (Pati) kini dikesan mula 'beralih angin' menjadikan pinggir bandar sebagai penempatan mereka.

Beberapa lokasi di Sungai Buloh, Sungai Besi, Pekan Subang Lama, Kepong, Gombak, Kajang, Subang Jaya, Serdang dan Klang kini mula dipenuhi warga asing yang dilihat berkeliaran di kawasan berkenaan.

Tinjauan Harian Metro di semua lokasi terbabit mendapati kawasan itu boleh diibaratkan sebagai 'kampung' bagi warga asing.

Mengenai penularan video yang dikatakan perkampungan warga Bangladesh di Sungai Buloh, Selangor, Ismail Sabri berkata, ia adalah video lama yang berlaku antara dua hingga tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, beliau menghargai usaha orang ramai dalam membantu pihak berkuasa mengesan kehadiran Pati di negara ini.

Beliau berkata, pihak penguat kuasa akan sentiasa mengambil tindakan segera.

Disiarkan pada: May 30, 2020 @ 4:21pm
d