mutakhir

Pelita raya gergasi jadi tumpuan

Oleh Zaid Salim

AIDILFITRI sudah memasuki hari ketujuh, namun pelita raya di Kampung Padang Hangus, Tepuh, Kuala Nerus terus mencuri tumpuan orang ramai yang tidak melepaskan peluang merakam gambar kenangan.

Malah, ia turut menarik minat pelajar kolej, institusi pengajian tinggi dan pencinta sejarah untuk membuat kajian mengenai tradisi pelita raya di kampung berkenaan.

Lebih menarik, halaman rumah Zaleha Matmin, 58, dan Mat Kasim Mat Isa, 63, menjadi tumpuan kerana orang ramai ingin mengetahui sejarah pelita raya berusia 27 tahun itu.

"Saya dan suami membuat pelita ini ketika anak bongsu belum lahir iaitu pada Aidilfitri 1993.

"Selain pelita gergasi ini, ketika itu kami juga memasang sebanyak 50 pelita raya menggunakan tin minuman bagi mengembalikan nostalgia kemeriahan menyambut Aidilfitri ketika zaman kanak-kanak.

"Kami tidak sangka niat asal hanya untuk suka-suka kekal sehingga kini, dan lebih seronok apabila ia menjadi tumpuan ramai termasuk pelancong," katanya ketika ditemui di rumahnya, malam tadi.

Menurutnya, semakin ramai penduduk kampung itu memasang pelita di rumah masing-masing pada Aidilfitri sekali gus menjadikan Kampung Padang Hangus terkenal di seluruh negara.

Katanya, bagi membuat pelita raya yang digelar 'ibu' pelita itu, dia tidak mengeluarkan perbelanjaan kerana menggunakan bahan buangan dan tersedia ada di rumahnya.

"Saya menggunakan tiga helai selimut lama untuk dijadikan sumbu dan menggunakan teknik tertentu ketika mencucuh dan memadamkan api bagi mengelak sumbu pelita hancur.

"Tempayan lama pula diletakkan tin yang diisi diesel, manakala bahagian luar dililit dengan tali sauh," kata pasangan terbabit yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Menurutnya, bagi memastikan pelita tidak padam, dia menggunakan sebanyak 13 liter diesel setiap malam bermula malam tujuh likur menyamai digunakan untuk 400 pelita yang dipasang di halaman rumahnya.

"Orang ramai mula membanjiri kawasan rumah ini pada akhir Ramadan hingga hari raya keenam sahaja.

"Saya bersama suami dan anak-anak tidak menang tangan melayani pengunjung yang ingin mengetahui sejarah pelita gergasi dan tradisi pelita raya di kampung ini," katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2020 @ 4:28pm
d