mutakhir

'Sudah terbiasa hidup sebegini'

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

"SAYA hidup bujang tanpa ada tanggungan, jadi tiada masalah hidup macam ni."

Begitu kata bekas tentera, Abdul Aziz Mohd Azmi, 61, yang tinggal bergelap tanpa bekalan elektrik di sebuah rumah usang di Taman Abdul Raof, Parit Buntar sejak tujuh tahun lalu.

Abdul Aziz berkata, dia berkhidmat selama 18 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum berhenti pada usia 39 tahun lalu pulang ke kampung dan tinggal di rumah berkenaan.

"Selepas berhenti berkhidmat, saya melakukan pelbagai kerja termasuk mengambil upah memotong pokok, menebas rumput dan mencuci kereta dengan bayaran antara RM30 hingga RM50.

"Rumah peninggalan arwah ayah ini semakin dimamah usia dan bekalan elektrik dipotong sekitar tujuh tahun lalu berikutan saya tidak mampu bayar tunggakan bil mencecah RM300.

"Sebagai bekas anggota tentera, sebenarnya saya tiada masalah dan sudah biasa hidup begini," katanya.

Abdul Aziz berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM Negeri Perak Mejar Hassanuddin Othman, hari ini.

Sementara itu, Hassanuddin berkata, semakan awal mendapati Abdul Aziz tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan bagi mendapat bantuan kebajikan disediakan JHEV.

Menurutnya, individu berkenaan layak untuk menerima bantuan sara hidup RM300 sebulan dan baik pulih rumah yang akan diusahakan menerusi Yayasan Perak dan Baitulmal.

"Mereka (bekas tentera) mungkin dah biasa dengan kehidupan begini kerana pernah menjadi tentera, tetapi saya sangat sedih melihat keadaan rumah ini.

"Atas rasa tanggungjawab, kita akan usaha bantuan sewajarnya dengan kerjasama agensi kerajaan, persatuan serta badan bukan kerajaan (NGO) lain," katanya menyifatkan situasi dialami Abdul Aziz ini antara kes terlepas pandang.

Disiarkan pada: May 30, 2020 @ 5:25pm
d