mutakhir

Kursus pra perkahwinan kembali dibuka

Oleh Amir Mamat

KURSUS pra perkahwinan di Melaka yang ditangguhkan berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, akan dilaksanakan semula bermula Isnin ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Datuk Md Azhan Samat berkata, langkah itu susulan persetujuan pihak pengurusan jabatan itu untuk mengubah beberapa kaedah perjalanan kursus itu, sejajar dengan kehidupan normal baharu ketika ini.

Katanya, perubahan itu termasuklah memendekkan masa kursus kepada enam jam berbanding 12 jam selain mengetatkan lagi Prosedur Operasi Standard (SOP) kepada pihak pengurusan serta peserta kursus.

"Jaim juga menetapkan, hanya bakal pengantin yang sudah memilih tarikh perkahwinan dalam tempoh tiga bulan dibenarkan mengikuti kursus pra perkahwinan. Ini bagi memastikan pelaksanaannya lebih teratur dan terkawal, selain memudahkan penyusunan jadual kursus.

"Penyusunan semula operasi pengurusan dan pelaksanaan kursus pra perkahwinan yang dilakukan Jaim mengambil kira tatacara pencegahan penularan wabak Covid-19 seperti disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Md Azhan berkata, pada kursus itu juga, pihaknya akan melakukan pengasingan peserta lelaki dan perempuan bagi memudahkan peserta berinteraksi secara langsung dengan penceramah serta menetapkan bilangan peserta 15 hingga 20 orang dalam satu masa.

Katanya, kursus terbabit juga hanya dibenarkan dilaksanakan dalam kawasan Masjid Al-Azim yang juga Masjid Negeri, selain di Pejabat Agama Islam Daerah Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin bagi memudahkan kehadiran peserta mengikut daerah masing-masing.

"Yuran kekal RM95 seorang dan modul yang diguna pakai bagi pelaksanaan kursus adalah mengikut sepenuhnya Modul Bersepadu Kursus Pra perkahwinan Islam (MBKPI) Versi 4 yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Penganjur perlu menyediakan ruang solat dan makan yang selesa dan sesuai serta mematuhi semua tatacara pencegahan penularan wabak Covid-19 yang digariskan MKN dan KKM," katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2020 @ 5:48pm
d