mutakhir

Bekas wartawan sambilan terlantar derita kanser

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

BEKAS wartawan sambilan Media Prima Berhad (MPB), Nordin Abdullah kini terlantar sejak sebulan lalu selepas menderita penyakit kanser kelenjar tahap empat.

Nordin, 64, yang pernah bertugas sebagai kakitangan MPB sejak 1984 sebelum berhenti dan menjadi wartawan sambilan di NTV7, disahkan menghidap penyakit itu pada November lalu.

Bapa kepada enam cahaya mata itu berkata, sebelum ini dia akan pergi ke hospital untuk temujanji setiap tiga bulan kerana menghidap penyakit darah tinggi.

Katanya, pada Oktober lalu, doktor bertanya keadaan lehernya kerana terdapat benjolan kecil sebelum memaklumkan ia sudah lama dan tidak sakit.

"Doktor kemudian meminta saya membuat ujian X-ray sebelum disahkan menghidap kanser kelenjar atau limfoma tahap empat.

"Susulan itu, saya menjalani rawatan kimoterapi sebanyak enam sesi dan sepanjang tempoh itu, keadaan amat teruk kerana tidak berselera makan dan kini hanya terlantar disebabkan tidak bertenaga.

"Kali terakhir saya menjalani rawatan kimoterapi pada April lalu, namun sehingga kini tidak mampu bangun dan diuruskan sepenuhnya oleh isteri, Noriza Stopa, 54," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Nal, Kuala Krai.

Terdahulu, Nordin dikunjungi Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), I Medikel Pharmacy Sdn Bhd dan Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan yang tampil menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan.

Katanya, dia berhenti kerja sebagai wartawan sambilan tahun lalu atas faktor kesihatan.

"Saya berharap mampu pulih dan boleh berjalan untuk mencari rezeki seperti sediakala kerana isteri tidak bekerja.

"Perbelanjaan harian termasuk anak yang masih sekolah dibantu empat anak yang sudah bekerja. Syukur, Alhamdulillah ada pihak yang tampil hulurkan bantuan," katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2020 @ 5:49pm
d