mutakhir

PATI positif Covid-19 dipindah ke MAEPS [METROTV]

Oleh Shamran Sarahan

KESEMUA 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang positif Covid-19 dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB) akan dipindahkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 MAEPS, Serdang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu diambil bagi memastikan kejadian seorang daripada kumpulan PATI terbabit yang melarikan diri dari wad HSB pagi hari ini tidak berulang.

Beliau berkata, meskipun PATI itu berjaya dikesan semula, siasatan akan tetap diteruskan pihaknya bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melihat bagaimana warga Bangladesh berusia 26 tahun itu boleh melarikan diri.

"Atas faktor keselamatan, kita memutuskan untuk memindahkan semua PATI terbabit ke MAEPS kerana sistem keselamatan di sana lebih tersusun.

"Manakala, hanya kes positif Covid-19 membabitkan warga tempatan dan pekerja asing yang sah akan dirawat di HSB. Diharap langkah ini secara tidak langsung meningkatkan tahap keselamatan di MAEPS dan pada masa sama masih memberikan rawatan terbaik kepada mereka," katanya.

Terdahulu, beliau menerusi sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini, ditanya mengenai kes membabitkan seorang PATI yang positif Covid-19 dan dirawat di HSB melarikan diri dari wad.

Jelas beliau, kebiasaannya PATI yang dimasukkan ke wad akan diiring oleh pegawai imigresen malah turut digari sepanjang berada di dalam wad.

"Pagi ini, sewaktu jururawat melakukan pemantauan, pesakit itu didapati hilang, jadi kami bertindak memaklumkan kepada pihak polis, imigresen dan sebagainya.

"Alhamdulillah, kita berjaya mengesan lokasinya dan dia kini sudah kembali ke wad dan kami sedang melihat bagaimana dia boleh melarikan diri sedangkan dia bergari misalnya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 30, 2020 @ 7:09pm
    d