mutakhir

Jangan panik - Aminuddin

Oleh Mohd Amin Jalil

MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menasihatkan masyarakat supaya tidak panik dan menyebarkan berita yang tidak sahih terutamanya berhubung situasi Covid-19 di negeri berkenaan.

Menurutnya, walaupun terdapat kes baharu Covid-19 yang direkodkan hari ini berbanding sifar sebelum ini, namun majoriti kes adalah daripada kluster Pedas yang sudah dikuarantin.

"Saya harap supaya masyarakat tidak panik dan menyebarkan berita yang tidak sahih berkaitan situasi Covid-19 di Negeri Sembilan.

"Pastikan segala maklumat yang disebarkan didapati daripada sumber sahih seperti Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) dan pihak berkuasa lain," katanya dalam kenyataan di Facebooknya.

Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) dan JKNNS dalam laporan dikeluarkan pada lewat petang tadi ini, merekodkan empat kes baharu Covid-19 membabitkan masing-masing satu kes di Seremban, Rembau, Kuala Pilah dan Stesen Kuarantin.

Jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Negeri Sembilan adalah sebanyak 856 kes didahului Seremban sebanyak 365, Rembau (273), Tampin (19), Jempol (14), Port Dickson (12), Kuala Pilah (8) dan Jelebu (2).

Laporan itu turut mengesahkan tiada kes kematian baharu berkaitan Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kematian di Negeri Sembilan kekal sebanyak lapan kes.

Hanya dua daerah yang berstatus zon kuning iaitu Seremban dan Rembau manakala yang lain iaitu Tampin, Jempol, Port Dickson, Kuala Pilah dan Jelebu berstatus zon hijau.

Disiarkan pada: May 30, 2020 @ 8:23pm
d