mutakhir

25 dron pantau sempadan Malaysia-Thailand [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

AGENSI Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) akan menggunakan 25 unit dron bagi memantau pergerakan di sempadan Malaysia-Thailand, dalam mengekang jenayah sempadan termasuk mengelak warga asing bolos.

Pemangku Ketua Pengarah AKSEM, Mohd Ridzuan Mohd Zain berkata, dron yang membabitkan nilai lebih RM3 juta untuk penggunaan di beberapa negeri sempadan termasuk Kelantan dan Kedah akan dibekalkan oleh kerajaan mulai Julai ini.

Katanya, menerusi penggunaan dron, pihaknya yakin mampu membantu untuk memantau pergerakan di sepanjang 662 kilometer sempadan Malaysia-Thailand.

"AKSEM mengenal pasti sebanyak 137 laluan tikus atau pangkalan haram yang aktif di sepanjang sempadan bermula di Pengkalan Kubor, Tumpat sehingga Perlis dengan Kelantan mencatatkan jumlah paling banyak.

"Justeru, unit dron AKSEM akan ditubuhkan dalam masa terdekat dan mereka akan menghadiri kursus sebelum ia dilaksanakan secara rasmi pada 1 Julai ini.

"Di Kelantan sahaja, kita akan menyediakan 10 dron untuk tujuan itu," katanya pada sidang media selepas memantau kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Rantau Panjang, semalam.

Mohd Ridzuan berkata, sebelum ini, AKSEM sudah menggunakan dron walaupun tidak secara meluas dan pada masa sama, mereka melihat penggunaan alat itu mampu meningkatkan operasi di sempadan.

"Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Op Benteng yang dilakukan, kegiatan penyeludupan masuk termasuk membabitkan warga asing semakin menurun memandangkan kawalan ketat daripada semua agensi termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Namun, hasil pemerhatian di kawasan sempadan, mereka (warga asing) ada cubaan untuk masuk ke Malaysia, namun berjaya dipatahkan pasukan keselamatan.

"Jika sebelum ini kebanyakan mereka akan masuk dengan skala besar menerusi jalan laut, kita percaya mereka akan mengubah modus operandi kepada sempadan Malaysia-Thailand dalam usaha untuk lolos ke dalam negara.

"Justeru, kita akan menggandakan kawalan di sempadan dengan dibantu beberapa agensi lain dan percaya penggunaan dron mampu membantu mengawal pergerakan di sempadan," katanya.

Beliau berkata, selain dron, kerajaan turut membekalkan 25 pacuan empat roda kepada AKSEM dalam masa terdekat.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan akan memperhebatkan Op Benteng di semua sempadan negara, bagi memastikan warga asing yang lolos keluar untuk berhari raya di negara mereka, tidak akan kembali ke Malaysia.

Katanya, operasi dan pemantauan oleh pihak berkuasa akan dipertingkat dan diperketatkan, terutama di lorong tikus masuk ke negara ini, bagi mengekang penularan kes import wabak Covid-19.

Disiarkan pada: May 31, 2020 @ 9:03am
d