mutakhir

Sinar baharu buat gelandangan

Oleh Mohd Amin

"SELAMA lebih lima tahun saya mencari pekerjaan tetap tetapi semua temu duga yang saya hadiri tidak berjaya. Saya harap pekerjaan kali ini kekal sehingga pencen," kata Farid Zulkifli.

Farid, 32, antara tiga gelandangan yang berjaya dalam temu duga yang diadakan baru-baru ini dan akan memulakan bekerja dengan syarikat konsesi sisa pepejal, SWM

Environment Sdn Bhd (SWM Environment) Negeri Sembilan pada 1 Jun ini.

Bekas pelatih Giat Majlis Amanah Rakyat (MARA) Pahang berasal dari Bahau Negeri Sembilan itu berkata, dia terharu apabila mendapat kerja dengan syarikat berkenaan.

Anak keenam daripada sembilan beradik itu yang masih belum berumahtangga berkata, hasratnya untuk membuka lembaran baharu dalam hidupnya kini akan terlaksana dengan

pekerjaan baharu yang akan dimulakannya.

"Selama ini, saya merantau mencari kerja di Seremban dan serata tempat di negeri ini tetapi tiada satu pun yang berjaya dan memuaskan hati.

"Saya kemudian balik kampung dan melakukan pelbagai kerja untuk membantu keluarga sehinggalah saya terjebak dengan kumpulan gelandangan di Terminal One Seremban

bermula awal tahun ini.

"Niat saya hanyalah untuk membantu meringankan beban ibu bapa dan memperkukuhkan ekonomi keluarga," katanya ketika ditemui ketika ditemui di Pusat Perpindahan Gelandangan Sementara (PPGS) di Dewan Orang Ramai, Taman Tasik Jaya, Paroi, di Seremban.

Terdapat seramai 21 gelandangan di tempatkan di pusat itu selepas mereka diselamatkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan, sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dikuatkuasakan bagi menangani penularan wabak Covid-19, 18 Mac lalu.

Bagi Nazelan Che Nordin, 32, yang turut sama berjaya dalam temu duga berkenaan dan akan memulakan kerja dengan syarikat terbabit esok berkata, dia amat lega apabila impiannya untuk mendapat pekerjaan tetap akhirnya tercapai.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, seramai 19 daripada 21 gelandangan di PPGS berpeluang mendapat pekerjaan selepas mereka disaring dari segi kesihatan dan keupayaan mereka.

Katanya, Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Sembilan adalah agensi yang mengendalikan sesi temu duga terbabit dengan

beberapa syarikat dan hanya tiga daripada mereka berjaya serta diterima bekerja dengan SWM Environment bermula 1 Jun ini.

Disiarkan pada: May 31, 2020 @ 10:10am
d