mutakhir

'Labur Raya' tawar duit raya RM200,000

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) melancarkan semula kempen tahunan sempena Aidilfitri, 'Labur Raya' untuk menanam minat menabung dalam kalangan kanak-kanak.

Diperkenalkan buat kali pertama pada 2017, kempen itu menggalakkan ibu bapa, penjaga serta ahli keluarga supaya melaburkan duit raya yang diterima anak-anak mereka dalam unit amanah ASNB.

Kempen kali ini menawarkan 'duit raya' berjumlah RM200,000 dalam bentuk unit amanah ASNB untuk dimenangi oleh 830 pemenang yang akan dipilih secara rawak berdasarkan nilai pelaburan mereka.

Dalam satu kenyataan, ASNB berkata, mereka yang berminat hanya perlu membuka akaun atau membuat pelaburan tambahan untuk pelabur berusia 18 tahun ke bawah sama ada dalam Amanah Saham Bumiputera, Amanah Saham Bumiputera 2 atau Amanah Saham Bumiputera 3 Didik.

"Ketiga-tiga unit amanah harga tetap ini diniagakan pada harga RM1 seunit dan mempunyai risiko rendah sesuai untuk pelaburan jangka panjang seperti membina tabung pendidikan," menurut syarikat itu.

ASNB berkata, pelaburan boleh dibuat melalui pilihan dalam talian yang disediakan seperti aplikasi myASNB serta platform ejen ASNB.

Pelaburan itu mesti dibuat sepanjang tempoh kempen berlangsung iaitu dari 28 Mei hingga 31 Julai 2020 dan pemenang hanya akan diumumkan tiga bulan selepas tarikh tutup.

ASNB menjelaskan pelaburan di awal usia kanak-kanak membolehkan ibu bapa mempunyai lebih masa untuk membina tabung pendidikan, serta dapat memilih kaedah lebih fleksibel dalam menentukan jumlah pelaburan setiap bulan mengikut kemampuan.

Melalui konsep kuasa kompaun pula, modal pelaburan dan dividen tahunan yang diterima akan terus berkembang dari tahun ke tahun, jika tidak dikeluarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, sebagai ibu bapa adalah penting untuk menerapkan minat menabung dan melabur dalam diri anak demi menjamin masa depan yang lestari.

"Kempen Labur Raya ini dilancarkan sebagai inisiatif ASNB untuk menggalakkan ibu bapa supaya melabur untuk anak dalam unit amanah ASNB sebagai satu cara menyimpan wang dan membina tabungan untuk faedah jangka panjang," katanya.

Merujuk kepada situasi sambutan Aidilfitri berikutan pandemik Covid-19, Mohammad berkata, walaupun Syawal kali ini disambut agak berbeza berbanding tahun sebelumnya, pihaknya yakin tradisi pemberian duit raya masih lagi diteruskan.

"Justeru, ASNB ingin turut sama meraikan tradisi ini dengan menyediakan insentif sebagai galakan kepada ibu bapa atau penjaga supaya melaburkan duit raya anak mereka kerana pelaburan memberi peluang untuk pulangan lebih baik berbanding jika wang berkenaan dibiarkan saja di rumah atau dibelanjakan," katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2020 @ 12:47pm
d