mutakhir

Operasi mesin ATM seperti biasa mulai esok [METROTV]

Oleh Hayati Ibrahim dan Muhaamad Hafis Nawawi

WAKTU operasi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang dihadkan sebelum ini dibenarkan beroperasi seperti biasa mulai esok.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ATM hanya dibenarkan beroperasi antara jam 8 pagi hingga 8 malam sahaja.

"Kini, kerajaan memutuskan bahawa mesin ATM boleh beroperasi seperti biasa, kalau dulu ATM ditutup antara jam 10 hingga 11 malam tertakluk kepada bank, jadi sekarang kita benarkan waktu operasi itu.

"Ia bagi memudahkan orang ramai melakukan urusan. Bagaimanapun, penjarakan sosial perlu dipatuhi, perlu ada jarak satu meter ketika beratur untuk mengambil wang," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sehingga 8 pagi hari ini, sebanyak 270 pusat kuarantin di seluruh negara masih aktif.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 187 pusat kuarantin digunakan untuk menempatkan 14,585 individu dalam pengawasan (PUS).

Katanya, 83 pusat kuarantin lagi diletakkan dalam keadaan siap siaga untuk diaktifkan jika terdapat keperluan untuk menempatkan PUS.

"Semalam seramai 1,972 rakyat Malaysia pulang ke tanah air dari Singapura, Indonesia, Vietnam, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Mesir, Australia dan Belanda sudah dikenakan kuarantin wajib.

"Seramai 46,859 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara sudah dikuarantin wajib sejak 3 April lalu.

"Sehingga hari ini, seramai 36,128 individu sudah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang," katanya.

  • href="https://www.hmetro.com.my/perintahkawalanpergerakan">Lagi berita berkaitan perintah kawalan

    pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 31, 2020 @ 2:34pm
    d