mutakhir

MySejahtera Check-In, kawal kemasukan pengunjung [METROTV]

Oleh Hayati Ibrahim dan Muhaamad Hafis Nawawi

APLIKASI Mysejahtera akan memperkenalkan MySejahtera Check-In, iaitu aplikasi pendaftaran dan pengawalan kemasukan pelawat secara berstruktur dan seragam ke premis perniagaan termasuk kilang, tapak pembinaan dan pejabat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aplikasi ini juga berfungsi membantu Kerajaan dalam pengurusan dan pengawalan jangkitan wabak Covid-19 sewaktu pengoperasian semula ekonomi negara.

"MySejahtera Check-In akan boleh digunakan bermula 2 Jun ini, di tiga cawangan AEON.

"Justeru, saya menyeru orang ramai supaya memuat turun aplikasi MySejahtera ini dalam membantu usaha Kerajaan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, sehingga 29 Mei, aplikasi MySejahtera sudah mempunyai 770,216 pendaftaran dan 929,276 penilaian kesihatan.

Aplikasi MySejahtera adalah satu aplikasi yang dibangunkan Kerajaan untuk membantu dalam pengawasan

penularan wabak Covid-19 di dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.

Mengenai penghantaran pulang penuntut, Ismail Sabri berkata, dari 27 April hingga hari ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah menghantar pulang 56,445 penuntut di kampus ke pangkuan keluarga masing-masing.

Katanya, baki seramai 1,986 penuntut lagi masih berada di kampus dan KPT sedang membuat perancangan untuk menghantar mereka pulang.

"Hari ini, seramai 358 penuntut dijadualkan dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing melalui tiga penerbangan.

"Ia membabitkan 165 penuntut bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu; Kuching ke Kota Kinabalu (166 penuntut) dan Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur membabitkan 27 penuntut," katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2020 @ 3:02pm
d