mutakhir

Bersatu Sabah sokong Muhyiddin urus negara

Oleh Rafiqah Dahali

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah mengekalkan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan presiden parti.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, sokongan adalah berdasarkan suara majoriti Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti yang bermesyuarat pada 23 Februari lalu supaya Bersatu keluar dari Pakatan Harapan (PH).

"Adalah jelas bahawa tindakan yang dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin adalah betul, kerana ia berasaskan suara majoriti ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, pendirian Bersatu Sabah adalah jelas dan berpandukan kemahuan sebahagian besar ahli majlis pimpinan tertinggi.

"Bersatu Sabah juga mahu Tan Sri Muhyiddin diberi peluang dan kepercayaan mengemudi negara dan seterusnya berusaha untuk mengurus dan menstabilkan kerajaan serta menyatupadukan rakyat negara ini.

"Rakyat dan negara juga memerlukan beliau dan ahli kabinetnya untuk mengurus negara dalam menghadapi ancaman pandemik Covid-19, cabaran besar ekonomi dan perpaduan rakyat.

"Bersatu Sabah juga berharap Tan Sri Muhyiddin dan Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan kebijaksanaan mereka mencari kata sepakat bagi menyelesaikan kemelut politik yang berlaku demi kepentingan negara dan rakyat," katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2020 @ 4:20pm
d