mutakhir

Terengganu benarkan operasi restoran, kedai makan

Oleh Baharom Bakar

BERKUAT kuasa serta-merta, kerajaan Terengganu membenarkan operasi sepenuhnya restoran dan kedai makan termasuk makan di dalam premis di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, masa operasi dibenarkan adalah antara 7 pagi hingga 10 malam.

Katanya, keputusan membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi termasuk restoran, kedai makan dan hotel diputuskan selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri, hari ini.

"Selepas mendapat pandangan beberapa agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), kerajaan negeri membenarkan pengoperasian sepenuhnya restoran, medan selera, gerai berbumbung dan kiosk termasuk untuk aktiviti makan dan minum dalam premis dari 7 pagi hingga 10 malam.

"Tetapi ia tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP), termasuk penjarakan sosial," katanya pada sidang media, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalannya Ahmad Shah Muhamed.

Ketika diminta mengulas tindakan ke atas pengusaha restoran dan kedai makan serta pengunjung yang gagal mematuhi SOP, Dr Alias berkata, kerajaan menggunakan kaedah memberi nasihat dan kompaun akan dikeluarkan jika tidak dipatuhi.

Katanya, anggota penguat kuasa PBT akan membuat pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan SOP yang dikuat kuasakan berada pada tahap optimum.

Mengenai pasar malam dan pasar tani, Dr Alias berkata, PBT diarah mengenal pasti tapak yang sesuai bagi membolehkan peserta pasar malam dan pasar tani menjalankan perniagaan.

"Kerajaan negeri sudah mengarahkan PBT mengemukakan kertas cadangan bagi mengelakkan berlaku kluster baharu Covid-19, tetapi operasi kedai gunting rambut masih tidak dibenarkan," katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2020 @ 4:32pm
d