mutakhir

Tak sempat rai sambutan hari lahir

Oleh Nur Izzati Mohamad

TINDAKAN 14 sahabat meraikan sambutan hari lahir di sebuah kondominium di Butterworth mengundang padah apabila dikompaun kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hari ini.

Dalam serbuan pada 12 tengah malam, sepasukan anggota polis yang menjalankan rondaan Op Covid-19 mendapati mereka termasuk seorang wanita berkumpul tanpa menjaga penjarakan sosial.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika serbuan kesemua mereka sudah selesai membuat persiapan menyambut hari lahir.

"Bagaimanapun, mereka dikejutkan dengan kehadiran polis dan tidak sempat meraikan sambutan hari lahir salah seorang rakan mereka.

"Siasatan mendapati mereka berusia 28 hingga 32 tahun itu mengaku hadir ke rumah itu untuk sambutan hari lahir dan bukan kalangan ahli keluarga yang sama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara sebelum dikenakan kompaun mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Disiarkan pada: May 31, 2020 @ 5:24pm
d