mutakhir

Covid-19: Siasat punca jangkitan di DTI [METROTV]

Oleh Saipul Adli Mohamad

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) masih menjalankan siasatan mengenai punca penularan wabak Covid-19 di empat Depoh Tahanan Imigresen (DTI).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya belum mengenal pasti sama ada jangkitan itu dibawa masuk dari luar oleh kakitangan atau pendatang asing tanpa izin (Pati).

"Penyiasatan masih dijalankan. Kita tak pasti lagi punca (jangkitan) itu mungkin jangkitan dari luar atau jangkitan dibawa masuk ke depoh tahanan.

"Tetapi apa yang pasti, kita perlu asingkan mereka yang positif dan diberi rawatan di hospital dan yang terdedah kepada kes positif kita kuarantin untuk tempoh 14 hari," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengenai laporan kes Covid-19 di empat DTI itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 283 kes positif dikesan membabitkan bukan warganegara Malaysia daripada 1,545 sampel diuji di DTI Bukit Jalil.

Beliau berkata, DTI Semenyih pula membabitkan 66 kes positif termasuk seorang kakitangan melalui 1,785 sampel diuji.

Menurutnya, bagi DTI Sepang, jumlah sampel diambil 1,477 dan jumlah positif 60 kes membabitkan semua bukan warganegara manakala 304 masih menunggu keputusan.

Beliau berkata, di DTI Sementara Putrajaya, sebanyak 101 sampel diambil dengan kes positif adalah dua membabitkan bukan warganegara selain 92 negatif dan dua masih menunggu keputusan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 31, 2020 @ 6:26pm
    d