mutakhir

Sepakat tubuh Majlis Presiden PN

Oleh Noorazura Abdul Rahman

PARTI dalam Perikatan Nasional (PN) bersetuju untuk mewujudkan majlis tertinggi dinamakan Majlis Presiden PN bagi menentukan hala tuju politik yang lebih baik.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penubuhan berkenaan dapat menyelaraskan keputusan bakal dibuat gabungan parti PN selain memantapkan kerjasama yang terjalin sejak Mac lalu.

"Alhamdulillah, saya nak maklumkan bahawa kita ada majlis tertinggi iaitu Majlis Presiden PN, yang mana membabitkan semua presiden-presiden parti.

"Pimpinan tertinggi PN juga memutuskan untuk meletakkan kepentingan rakyat sebagai agenda utama khususnya dalam mendepani situasi penularan wabak Covid-19.

"Selain rakyat Malaysia tidak lagi diheret dalam kemelut politik seperti yang berlaku sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kunjungan hormat selaku Menteri Alam Sekitar dan Air kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Noor di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, PAS berharap tidak berlaku pertembungan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak menghalang sebarang keputusan yang akan dibuat Pakatan Harapan (PH) dalam meletakkan calon bagi menghormati amalan demokrasi di Malaysia.

"Memang kalau kita tengok nampak ada jurang sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) dan PH. Orang politik mata lain-lain, kita lihat atas kertas berdasarkan keputusan dahulu.

"Cadangan Naib Presiden PAS, Datuk Nik Amar Nik Abdullah sebelum ini mungkin pandangan yang ikhlas dari segi semasa PKPB, tapi hak parti politik kita serah balik kepada mereka.

"Sama ada PH nak letak calon atau tak letak calon, kita cuma bagi pandangan saja," katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2020 @ 7:30pm
d