mutakhir

Warga asing 'tak makan saman'

Oleh Mahaizura Abd Malik

BIARPUN digempur berkali-kali, warga asing didapati tidak serik kembali menjalankan aktiviti perniagaan di lokasi sama di sekitar ibu negara.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan memaklumkan tindakan diambil terhadap warga asing yang berniaga buah-buahan dan sayuran di kali lima di sekitar Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur, pagi hari ini.

Pemeriksaan lanjut penguat kuasa DBKL mendapati mereka menggunakan pengenalan diri kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) untuk menjalankan perniagaan dengan meletakkan bakul jualan di hadapan premis.

DBKL turut menyita tiga premis perniagaan di sekitar Jalan Kenangan dan Merlimau, hari ini berikutan ia dikendalikan warga asing.

Tindakan itu selaras dengan peruntukan Seksyen 101 (1) (V) Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana beroperasi tanpa kebenaran.

Semua premis ditampal notis penutupan dan ditutup serta merta.

Terdahulu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan memaklumkan kepada Harian Metro bahawa hampir 100 premis perniagaan dikendalikan warga asing ditutup dan disita sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.

Disiarkan pada: May 31, 2020 @ 8:01pm
d