mutakhir

KKM kesan kontak pelajar tahfiz di Batu Gajah

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengenal pasti punca seorang pelajar tahfiz di Batu Gajah, Perak yang disahkan positif Covid-19, semalam.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi berkata, susulan kejadian itu, Perak kini tidak lagi diisytiharkan sebagai Zon Hijau.

Menurutnya, siasatan lanjut kini dijalankan termasuk mengesan kontak rapat pelajar berkenaan.

"Setakat ini tidak ada tanda-tanda bahawa pelajar ini mendapat jangkitan wabak ini dari sekolah tahfiz, di sini (Batu Gajah) berikutan ianya sudah ditutup agak lama sebelum 18 Mac lalu.

"Difahamkan, pelajar itu pergi ke merata tempat bersama keluarga termasuk ke Kuala Lumpur sebelum pulang ke Batu Gajah pada 3 Mac lalu.

"Terdahulu pelajar itu menjalani ujian saringan pertama bersama 41 pelajar tahfiz lain, namun keputusannya negatif dan ujian kedua melalui Rapid Test Kit (RTK) Antibody mendapati dia positif wabak itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau sebuah rumah yang ditimpa pokok di Kampung Bukit Putus, Gunung Semanggol, Bagan Serai, hari ini.

Menurutnya, susulan itu pihak KKM mengesan punca jangkitan itu berlaku termasuk kontak rapat kepada pelajar berkenaan.

Ditanya mengenai peningkatan 30 kali ganda kes Chikungunya di Perak, Noor Azmi berkata, kerajaan negeri perlu meningkatkan usaha dalam menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk ini.

"Rakyat juga disaran tidak memandang ringan dan perlu bekerjasama dengan semua pihak termasuk kerajaan bagi membanteras wabak ini agar ianya tidak menjadi serius," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 31, 2020 @ 8:51pm
    d