mutakhir

'Tumpu bantu rakyat, bukan berpolitik sepanjang masa'

Oleh Yusmizal Dolah Aling

PEMIMPIN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di peringkat bahagian mahu tumpuan sepenuhnya diberikan kepada usaha untuk membantu rakyat di negara ini dan bukannya berpolitik sepanjang masa sehingga merugikan semua.

Ini kerana, kemelut parti itu yang terus berlarutan menjejaskan usaha untuk menjalankan tugas seperti sepatutnya memandangkan penubuhan kerajaan baru di dalam Perikatan Nasional (PN) sudah terbentuk sejak Februari lalu.

Ketua Bersatu Bahagian Kepong, Datuk Norizan Ali berkata, usaha untuk memastikan tugas sebagai kerajaan membantu rakyat perlu diberikan keutamaan apatah lagi ketika penularan wabak Covid-19 belum berakhir.

Katanya, pemimpin di semua peringkat perlu sedar rakyat sedang memerhati pergolakan yang berlaku setiap hari dan sebarang percaturan salah akan memakan diri.

"Dalam keadaan sekarang, isu siapa memimpin parti perlu diletakkan di tepi. Kita ada tugas perlu dibuat, tetapi kalau asyik bercakaran yang tidak menguntungkan sesiapa, semua akan rugi," katanya kepada Harian Metro.

Pendapat sama dikongsikan Ketua Bersatu Bahagian Wangsa Maju, Mohammed Ridzal Mohd Kamal Ghazalee yang meminta pimpinan parti itu untuk memperkuatkan jentera parti di bahagian masing-masing.

Katanya, beliau yakin segala permasalahan dalam parti mampu diselesaikan dengan penuh hikmah oleh Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ia perlu diterima semua ahli parti dengan hati terbuka.

Bagi Ketua Bersatu Bahagian Seputeh, Mohd Badrul Ezzan, sudah sampai masanya parti itu mengambil tindakan tegas kepada mana-mana ahli yang melanggar perlembagaan dan tidak sehaluan dengan hala tuju yang digariskan.

"Parti wajarlah mengambil tindakan tanpa mengira pangkat dan jawatan bagi menjaga kestabilan serta keharmonian.

"Walaupun ia sesuatu yang mendukacitakan, tetapi bagi menjaga perpaduan dan kekuatan serta perjuangan Bersatu, kita perlu terus bergerak, lupakan agenda peribadi," katanya.

Kemelut Bersatu kembali mencuri tumpuan minggu lalu apabila lima Ahli Parlimen termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerima surat pemecatan daripada Setiausaha Kerja Bersatu Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya.

Kemudian, Jumaat lalu Ahli Parlimen Langkawi itu pula memecat Muhammad Suhaimi yang didakwanya menjalankan tugas melangkaui batas.

Sejam kemudian, pada satu sidang media, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin pula memaklumkan, lima ahli parlimen berkenaan dilucut ahli secara automatik kerana beberapa kesalahan termasuk berada di blok pembangkang pada sidang parlimen 18 Mac lalu.

Disiarkan pada: May 31, 2020 @ 10:10pm
d