mutakhir

106 panggilan kecemasan kes tebuan, lebah [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SEBANYAK 106 panggilan kecemasan membabitkan kes tebuan dan lebah direkodkan di seluruh Terengganu dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Md Hilman Abd Rashid berkata, sebanyak 44 kes direkodkan sepanjang Mei yang juga tertinggi dilaporkan.

Katanya, pihaknya menerima 19 kes sepanjang Januari, Februari (11 kes), Mac (17 kes) dan April (15 kes).

"Berdasarkan rekod, terdapat peningkatan kes yang ketara pada Mei lalu dan perubahan cuaca dipercayai menjadi punca peningkatan kes.

"Sebelum ini, orang ramai mengambil tindakan sendiri memusnahkan sarang tebuan atau lebah di kawasan kediaman dan ini antara punca menyebabkan berlaku peningkatan," katanya pada sidang media sempena Majlis Penyerahan Jentera Fire Response Vehicle (FRV) JBPM Terengganu di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

Md Hilman berkata, pihaknya menasihatkan ibu bapa supaya memantau anak-anak masing-masing ketika bermain dan sentiasa memeriksa kawasan kediaman bagi memastikan ia bebas daripada haiwan berbisa termasuk lebah dan tebuan.

Katanya, tebuan terutama spesis tebuan tanah bukan sahaja mampu membuat sarang baharu di atas tanah namun di lokasi tinggi yang berada di luar kediaman dalam masa singkat.

"Kita dan agensi penyelamat lain seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mempunyai kepakaran terlatih dan peralatan bagi memusnahkan sarang spesis itu.

"Orang awam dinasihatkan supaya meminta bantuan agensi penyelamat berkaitan dan profesional bagi tindakan memusnahkan sarang," katanya.

Disiarkan pada: June 1, 2020 @ 12:56pm
d