mutakhir

Dituduh memandu dalam keadaan mabuk, pukul polis [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PENGURUS bar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, atas empat pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol, memukul anggota polis dan berkelakuan tidak senonoh, bulan lalu.

Tertuduh, Leng Kar Loon, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 353 kanun sama dan Seksyen 90 Akta Polis 1967.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu Toyota Avanza yang mana kandungan alkohol di dalam badan sebanyak 200 mg/100 ml melebihi 120 mg daripada dihadkan iaitu 80mg di Bulatan Billion Cheras, kira-kira jam 1 pagi pada 21 Mei lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM1,000 dan maksimum RM6,000 selain boleh dipenjara sehingga 12 bulan serta lesen memandu percubaan dibatalkan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Abdullah Khazali manakala tertuduh diwakili Peguam, Tan Kian Peng.

Majistret Puteri Nursheila Rahimi membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 selepas mengambil kira rayuan peguam bela dan hujahan pihak pendakwa.

Tertuduh turut didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada Mohd Radhie Md Yatim, 38, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan pula, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah kepada penjawat awam dalam menjalankan tugas yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa merusuh dan berkelakuan tidak senonoh mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang boleh dikenakan denda maksimum RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga kesalahan itu dilakukan di bilik penguat kuasa Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee, kira-kira jam 1 pagi pada 21 Mei lalu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Anisha Jamilludin.

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi kesemua pertuduhan itu dan menetapkan 21 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: June 1, 2020 @ 1:33pm
d