mutakhir

JBPM Terengganu perlu 11 jentera

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SEBANYAK 11 jentera diperlukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu bagi menampung keperluan kes kecemasan di negeri ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Md Hilman Abd Rashid berkata, Terengganu ketika ini mempunyai 25 jentera yang digunakan secara maksimum bagi menampung kes kecemasan semasa.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak tujuh jentera mengalami kerosakan sama ada kerosakan besar dan kecil yang sedang dibaik pulih selain lapan jentera yang sudah berusia 10 tahun.

"Di Terengganu, kita ada dua balai kategori A iaitu Kuala Terengganu dan Kerteh dengan setiap setiap balai ini memerlukan dua jentera.

"Bagi kategori B, kita ada dua balai yang memerlukan empat jentera lagi.

"Kita ada 12 balai kategori C dan sepatutnya kena ada dua jentera lagi manakala bagi balai D pula, kita masih memerlukan sebuah jentera.

"Berdasarkan keperluan, kita memerlukan sekurang-kurangnya 36 jentera namun ketika ini kita hanya ada 25 jentera sahaja," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Fire Response Vehicle (FRV) di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, hari ini.

Md Hilman berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pertambahan jentera di Terengganu sekiranya mempunyai peruntukan.

Katanya, pertambahan jentera dapat memendekkan tempoh bertindak dan mampu menampung keperluan ideal membabitkan 17 balai yang ada di Terengganu.

"Kita tahu kekangan yang dihadapi dan saya menyerahkan kepada pihak ibu pejabat bagi membuat keputusan bagi perolehan jentera yang baru," katanya.

Disiarkan pada: June 1, 2020 @ 2:23pm
d