mutakhir

Tunggu masa nak roboh

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

"RUMAH usang berbumbung daun nipah ini 'syurga' kami sekeluarga tidur dan berehat sejak berpindah dari Rompin, Pahang dua tahun lalu," kata Rahmah Idris, 60, yang menetap di Kampung Tebuk Jaya, Parit 13, Sungai Panjang, Sungai Besar.

Menurutnya, kesempitan hidup menyebabkan dia dan suami, Rosda Arsad, 58, tidak mampu menyediakan kediaman selesa kepada keluarga.

Dia berkata, rumah yang dibina atas tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu juga tidak mempunyai tandas yang sempurna, kerap dinaiki air setiap kali hujan dan bumbung bocor.

"Rumah pusaka berusia 70 tahun ini menunggu masa untuk roboh kerana sebahagian struktur kayu sudah reput selain sering dicerobohi ular.

"Disebabkan kekangan kewangan, kami tidak mampu untuk membaiki kerosakan rumah ini," katanya ketika ditemui dalam lawatan bersama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parit 13, Sungai Panjang, Mohamad Fauzi Saladri, semalam.

Ibu kepada lapan anak berusia 39 hingga 12 tahun itu berkata, dia sekeluarga sebelum ini menetap di Rompin, namun terpaksa pulang ke kampung halaman ekoran kesempitan hidup.

"Saya bersama empat anak pulang ke kampung manakala suami dan dua anak lelaki masih berada di sana (Rompin). Mereka bekerja membuat sawah dengan pendapatan yang tidak menentu.

"Empat anak yang tinggal bersama saya, dua daripadanya bekerja mengait sawit sekitar Sungai Panjang, juga dengan pendapatan tidak menentu," katanya.

Katanya, dia dan keluarga selesa tinggal di rumah itu walaupun serba kekurangan.

"Sayang sebenarnya nak tinggalkan rumah ini. Lagi-lagi ada ahli keluarga yang tinggal berdekatan, senang kami hendak berjumpa.

"Susah dan senang, biarlah kami hadapi bersama. Setiap hari saya berdoa supaya kami sekeluarga sentiasa dilindungi Allah dan bersyukur anak-anak diberi peluang mencari rezeki walaupun berada dalam keadaan seperti ini," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi anak perempuan Rahmah, Siti Norliana Rosda di talian 011-60597534.

Sementara itu, Mohamad Fauzi berkata, nasib Rahmah dan keluarganya mendapat perhatian Timbalan Menteri Pendidikan II, Muslimin Yahaya yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar.

"Saya dimaklumkan proses bantuan sedang diusahakan dan sedang menunggu maklum balas daripada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut," katanya.

CAPTION

SUNGAI BESAR 01 JUN 2020. Keadaan tandas yang tidak sempurna di rumah pusaka milik Rahmah Idris di Kampung Tebuk Jaya, Parit 13, Sungai Panjang. STR/AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN

SUNGAI BESAR 01 JUN 2020. Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parit 13, Sungai Panjang, Mohamad Fauzi Saladri (kiri) menziarahi Rahmah Idris di rumahnya di Kampung Tebuk Jaya, Parit 13, Sungai Panjang. STR/AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN

Disiarkan pada: June 1, 2020 @ 3:43pm
d