mutakhir

Tiada pembuangan 'mega'

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

TIADA pembuangan pekerja 'mega' sehingga 30,000 orang dalam industri perhotelan ekoran pandemik Covid-19.

Menyangkal dakwaan itu, Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Hotel, Bar dan Restoran Semenanjung Malaysia, Rusli Affandi berkata, angka berkenaan hanya menyebabkan keyakinan pelabur semakin lemah dan meranapkan lagi industri perhotelan yang sudah tenat.

Menurutnya, sehingga kini hanya tujuh hotel seluruh negara yang menutup sepenuhnya operasi kerana tidak mampu menampung kos kerana ketiadaan pelanggan sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, berdasarkan data yang diperoleh, kurang daripada 3,000 pekerja terjejas dengan 400 daripadanya adalah ahli kesatuan.

"Angka 30,000 itu sangat besar dan memberi impak negatif kepada industri perhotelan sekali gus melemahkan keyakinan pelabur.

"Walaupun perlu diakui industri ini terjejas teruk namun jumlah pembuangan staf masih terkawal dan kesatuan akan memastikan pampasan setimpal mengikut undang-undang dibayar kepada mereka yang terjejas," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas

kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Datuk Abdul Halim Mansor yang memaklumkan lebih 30,000 pekerja industri perhotelan hilang pekerjaan akibat Covid-19.

Malah, lebih 10,000 dicutikan tanpa gaji dan lebih 6,000 pekerja dipotong gaji ekoran aktiviti perniagaan industri yang menguncup.

Beliau berkata, pekerja hotel yang masih bekerja juga akan terganggu dari segi emosi dan kualiti kerja apabila angka tidak tepat diumumkan.

Katanya, bagi menampung kekurangan pelancong, kerajaan disaran untuk kembali menjadi hotel sebagai lokasi penganjuran seminar dan program.

"Aktiviti sedemikian mampu membantu hotel menampung kos operasi yang masih tinggi kerana tidak dapat bergantung sepenuhnya kepada penginapan semata-mata.

"Pekerja yang diberhentikan juga perlu dibantu khususnya memberikan kemudahan kredit dan lesen agar mereka dapat memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

"Ini kerana ada diantara mereka yang diberhentikan sudah bekerja lebih 30 tahun dan sudah pasti sukar mendapat pekerjaan dalam sektor lain," katanya.

Disiarkan pada: June 1, 2020 @ 4:08pm
d