mutakhir

Simpan dadah atas siling pusat beli belah

Oleh Nur Izzati Mohamad

POLIS menumpaskan sindiket pengedaran pil yaba dan dadah selepas menahan enam lelaki dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah.

Dalam serbuan bermula jam 6 petang kelmarin dan berakhir 7 petang semalam itu, polis berjaya menahan dalang sindiket itu berusia 45 tahun yang menjadikan siling pusat beli belah dekat Perai Jaya sebagai tempat simpanan dadah berkenaan.

Dengan penahanan kesemua suspek berusia 25 hingga 58 tahun itu, polis berjaya merampas lebih 39,000 pil yaba serta sejumlah dadah bernilai RM398,500.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, rampasan terbesar membabitkan serbuan di sebuah kompleks beli belah dekat Perai Jaya.

"Dalam serbuan itu, polis menahan pengawal keselamatan yang menjadi dalang kepada kegiatan jenayah ini.

"Pemeriksaan mendapati dia menyimpan 32,000 pil yaba dan dua gram syabu dalam siling di pusat beli belah itu," katanya, hari ini.

Katanya, polis percaya bahawa pusat beli belah itu dijadikan lokasi transit untuk menyimpan pil dan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

"Kegiatan pengedaran ini dilakukan sejak enam bulan lalu dan kita sedang siasat sama ada pil yaba serta dadah itu turut dijual kepada pelanggan pusat belah berkenaan," katanya.

Kesemua suspek itu kini direman hingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A (2), 39 (A) 1 dan 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dalang juga turut akan disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas)," katanya.

Disiarkan pada: June 1, 2020 @ 4:53pm
d