mutakhir

Susahkan ibu bapa saja...

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SERAMAI 15 remaja ditahan kerana menunggang secara melulu dan merbahaya di Kampung Tunku, Sungai Way, Petaling Jaya, semalam.

Dalam operasi 6.45 petang itu, semua remaja berkenaan diarahkan untuk menolak motosikal masing-masing ke Balai Polis Sungai Way untuk pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya turut mengeluarkan 25 saman kerana melakukan pelbagai kesalahan.

"Tindakan remaja berkenaan mengganggu ketenteraman awam terutama penduduk di kawasan berkenaan.

"Susulan itu satu operasi dilakukan dan berjaya menahan 15 remaja berusia 16 hingga 18 tahun yang berkumpul dan menunggang motosikal secara merbahaya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, ibu bapa dan penjaga semua remaja terbabit dipanggil ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.

"Ujian saringan air kencing dilakukan terhadap semua remaja berkenaan didapati negatif.

"Operasi berterusan akan dijalankan bagi memastikan setiap pengguna jalan raya mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.

Disiarkan pada: June 1, 2020 @ 5:53pm
d