mutakhir

JKDM tumpas sindiket seludup rokok rentas sempadan

Oleh Mohamed Farid Noh

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan penyeludupan 17 juta batang rokok dengan penahanan dua kontena di Pelabuhan Pasir Gudang, dekat Johor Bahru, Khamis lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) JKDM, Datuk Johari Alifiah berkata, kejayaan itu adalah hasil pemantauan Unit Siasatan Frod Perdagangan (USFP) agensi berkenaan dengan kerjasama Cawangan Narkotik.

Katanya, hasil pemeriksaan awal ke atas dua kontena berukuran 12.19 meter (40 kaki) di pelabuhan berkenaan, pasukan berkenaan menemui rokok berjenama Zon King dan U2 dimuatkan di dalamnya.

"Pemeriksaan ke atas Dokumen Perkapalan (Bill Of Lading) dan Daftar Muatan Kapal (K4) menunjukkan dagangan dalam dua kontena berkenaan diikrarkan sebagai bahan buangan aluminium dan ia diimport dari bandar Ho Chi Minh, Vietnam.

"Siasatan awal juga mendapati syarikat pengimport tidak mempunyai permit import yang sah selain tiada pengikraran borang import (K1) dibuat oleh pengimport ke atas dagangan berkenaan.

"Kedua-dua kontena berkenaan didapati tiba di Pelabuhan Pasir Gudang sehari sebelum Aidilfitri lalu.

"Sejumlah 17 juta batang rokok yang dianggarkan bernilai RM1.19 juta dengan jumlah duti dan cukai dianggarkan sebanyak RM9.08 juta di rampas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Johari berkata, siasatan ke atas syarikat pengimport sedang giat dilakukan dan dalang di sebalik sindiket berkenaan juga sedang dikesan.

"Sehingga kini hanya syarikat perkapalan sudah disoal siasat bagi membantu siasatan.

"Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976 kerana disyaki melakukan kesalahan terbabit dalam mengimport barang tak berkastam atau barang larangan selain memiliki barang yang mana duti eksais belum dibayar," katanya.

Johari berkata, orang ramai digesa membantu pihak kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, dan kenderaan serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.

Katanya, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Disiarkan pada: June 1, 2020 @ 5:55pm
d