mutakhir

Pastikan kejadian tanah runtuh tidak berulang

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PEMERIKSAAN terhadap lebih 20 rumah di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa di Ampang susulan kejadian tanah runtuh perlu dibuat bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, ia perlu dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menjamin keselamatan penduduk di kawasan berkenaan.

"Kita harapkan pemeriksaan rumah ini dilakukan secara menyeluruh termasuk rumah berhampiran yang ada keretakan.

"Pasukan teknikal perlu melakukan pemantauan dan mencari jalan supaya peristiwa sama tidak berulang," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan di kawasan tanah runtuh di Ampang, hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Datuk Abd Hamid Hussain.

Sementara itu, Abd Hamid berkata, pemeriksaan secara menyeluruh di kawasan kejadian oleh kontraktor dilantik akan mengambil masa kira-kira seminggu sebelum kerja baik pulih dilaksanakan.

"Bermula hari ini kita akan buat pemantauan, analisa dan pemeriksaan di rumah lain sebelum keputusan baharu dibuat.

"Ada antara rumah memang ada rekahan, rumah asal stabil tetapi rekahan di bangunan tambahan. Kita akan buat kajian dan siasatan," katanya.

Katanya, satu mesyuarat bersama pihak berkaitan akan diadakan Khamis ini bagi membincangkan bantuan yang boleh disalurkan kepada penduduk terjejas.

Difahamkan, penduduk yang terjejas ditempatkan sementara di Hotel De Palma, Ampang.

Harian Metro kelmarin melaporkan, pasukan bomba menerima laporan kejadian tanah runtuh yang menjejaskan tujuh kediaman di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, pada 2.21 pagi.

Berikutan itu, seramai 40 penghuni diarah meninggalkan kediaman masing-masing susulan tanah runtuh yang berlaku di belakang rumah teres dua tingkat berkenaan.

Kejadian dipercayai berpunca daripada pergerakan tanah kerana hujan lebat berterusan sejak petang Jumaat lalu.

Disiarkan pada: June 1, 2020 @ 7:05pm
d