mutakhir

Tiada masalah pun normal baharu [METROTV]

Oleh Azrul Affandi Sobry

SUSAH sangatkah untuk mengamalkan normal baharu dan adakah ia sesuatu yang membebankan terutama apabila rakyat negara ini sering diingatkan untuk mempraktikkannya dalam kehidupan seharian.

Amalan normal baharu ini bukan sekadar suka-suka kerana itulah kaedah paling berkesan memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 yang menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih jauh menemui penamatnya.

Antara amalan dilihat perlu dipraktikkan masyarakat terutama dalam urusan harian di tempat awam ialah penjarakan sosial, memakai pelitup muka, menjaga kebersihan dengan sering mencuci tangan dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang disyaratkan di semua premis.

Harian Metro meninjau sejauh mana normal baharu ini mampu dipraktikkan dan mendapatkan pandangan ramai orang sama ada amalan yang disarankan ini memberi masalah dan menyusahkan mereka.

Daripada tinjauan dibuat, apa dilihat tiada sebarang masalah bagi rakyat mempraktikkannya, apatah lagi selepas lebih dua bulan berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan hari ini sudah memasuki hari ke-29 Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kebiasaan ini menjadikan mereka tidak lagi rimas memakai pelitup muka, tidak merasa resah beratur panjang memasuki premis perniagaan dan tidak kekok menulis maklumat diri.

Pegawai kerajaan, Shaarani Mohd Yassin berkata, normal baharu itu sudah menjadi satu amalan biasa dan bersetuju ia adalah satu langkah baik untuk melindungi masyarakat dari Covid-19.

"Jika normal baharu ini terpaksa diamalkan lebih lama sekalipun tidak akan menjadi masalah kerana ia sekurang-kurangnya dapat melatih masyarakat untuk jadi lebih berdisplin menjaga kebersihan diri," katanya.

Pelajar, Lavina Agustine pula berkata, dia tidak merasa rimas pun terpaksa memakai pelitup muka ke sana sini dan memastikan penjarakan sosial dipraktikkan.

"Siapa saja nak buat benda baharu akan rasa tidak selesa tapi apabila amalan sudah lama dipraktikkan, saya rasa semua orang sudah biasa dan menerimanya sebagai amalan harian kita dalam kehidupan," katanya.

Bagi pesara kerajaan, Awaluddin Abdul Rahman, rakyat negara ini perlu menerima normal baharu ini sebaiknya kerana sudah banyak negara luar mengamalkannya sebelum wabak Covid-19 lagi.

"Menjaga kebersihan memang sudah lama dipraktikkan banyak negara sebagai normal biasa bagi mereka. Cuma, pendidikan untuk ke arah ini mesti dibuat secara berterusan dan inilah masa terbaik untuk melaksanakannya," katanya.

Apapun, berdasarkan apa yang dilihat, rakyat negara ini sudah memahami peranan masing-masing dalam merealisasikan terma 'kita jaga kita' apabila sedar hanya dengan kerjasama semua pihak mematuhi SOP dan melaksanakan normal baharu ini dapat membantu kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

Terbaik dan teruskan normal baharu ini semua rakyat Malaysia. Kita jaga kita dan tentunya peperangan ini akan berjaya kita menang bersama.

Disiarkan pada: June 1, 2020 @ 7:25pm
d