mutakhir

TUDM bangunkan skuadron operasi sistem pesawat tanpa pengendali

Oleh BERNAMA

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menubuhkan satu skuadron untuk pengoperasian sistem pesawat tanpa pengendali (UAV) dalam tempoh terdekat.

Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad berkata, skuadron UAV itu akan mengambil alih perjawatan No 11 Skuadron yang dikhususkan bagi pesawat SU-30MKM dengan skuadron jet pejuang itu pula akan diperjawatkan dengan perjawatan No 12 Skuadron.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena Hari Ulang Tahun TUDM yang ke-62 hari ini yang bertemakan 'Berupaya Bersiaga, Kedaulatan Terjaga' di laman rasmi Facebook TUDM.

Sementara itu dari segi atur gerak aset udara, Ackbal berkata, TUDM mengadakan lebih 42 misi penghantaran udara membawa 270 tan keperluan, antaranya barangan perubatan, spesimen klinikal tambahan dan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan kumpulan barisan hadapan di Sabah dan Sarawak.

"Alhamdulillah, kesemua misi penghantaran udara ini dapat dilaksanakan dengan lancar sekali gus membuktikan TUDM sentiasa bersedia, komited dan sentiasa dalam keadaan siapsiaga sebilang masa," katanya.

"Aset-aset TUDM telah diatur gerak untuk membuat pengawasan dan rondaan udara di perairan Selat Melaka, Laut China Selatan serta Laut Sulu.

"TUDM berjaya mengesan beberapa buat bot warga asing di perairan Selat Melaka dengan ratusan imigran," kata Ackbal sambil mengucapkan tahniah kepada kesemua warga TUDM yang terbabit dalam operasi berkenaan.

Pada 16 April, Bernama melaporkan tindakan pantas pesawat Hercules C-130 dari Pangkalan Udara Subang berjaya mematahkan cubaan seramai 200 pendatang tanpa izin daripada memasuki perairan negara.

Selain itu mengenai pelan transformasi Air Force Next Generation selama 10 tahun yang akan tamat pada hujung tahun ini, Ackbal berkata, ia akan disusuli dengan satu pelan strategik baharu iaitu Pelan Pembangunan Keupayaaan TUDM 2055 (CAP55).

Beliau berkata, CAP55 adalah pelan jangka panjang selama 35 tahun yang merangkumi pembangunan keupayaan, penstrukturan semula aset ketumbukan dan sumber manusia.

"CAP55 fasa satu akan bermula pada Januari tahun depan," katanya.

Disiarkan pada: June 1, 2020 @ 7:37pm
d