mutakhir

Kursus jangka pendek bantu pekerja yang diberhentikan

Oleh Mohamed Farid Noh

KERAJAAN Johor dengan kerjasama Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ) menawarkan lima kursus jangka pendek percuma bagi membantu rakyat yang diberhentikan kerja akibat wabak Covid-19 menjana pendapatan.

Kursus jangka pendek percuma yang ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri.

Ia akan diadakan antara tiga hingga lima hari dan dijalankan di cawangan Kolej Kemahiran Johor (KKJ) Johor Bahru serta Batu Pahat.

KKJ dalam kenyataan berkata, program jangka pendek itu bermatlamat bukan sahaja menjadikan peserta sebagai seorang usahawan malah berkebolehan memasarkan produk secara dalam talian.

Menurutnya, program yang akan bermula Jun hingga Ogos dan September hingga Disember itu membabitkan kursus Pemasaran Dalam Talian (tiga hari); Pemasaran Dalam Talian dan Makanan Sejuk Beku ala Barat (lima hari); Pemasaran Dalam Talian dan Penyediaan Kuih Talam (lima hari); Pemasaran Dalam Talian dan Pembuatan Pastri (empat hari) serta Pemasaran Dalam Talian dan Masakan Johor (empat hari).

"Syarat kemasukan terbuka kepada anak kelahiran Johor atau mereka yang menetap di Johor melebihi lima tahun dan berusia antara 20 hingga 55 tahun.

"Sasaran dan keutamaan adalah mereka yang diberhentikan kerja. Mereka yang menamatkan kursus ini akan memperoleh sijil yang dikeluarkan KKJ," katanya.

Menurut kenyataan itu, tempat adalah terhad, dan mereka yang berminat boleh menghubungi talian 019-2247290/017-7021686/013-6180076.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 1, 2020 @ 7:43pm
    d