mutakhir

Keputusan taska dibuka diketahui esok [METROTV]

Oleh Saipul Adli Mohamad

SATU lagi pembentangan mengenai prosedur operasi standard (SOP) taska akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), esok.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, taska menjadi keperluan disebabkan banyak sektor ekonomi kembali dibuka membabitkan ibu bapa bekerja.

Beliau berkata, antara SOP untuk pusat taska adalah memastikan had pergaulan kanak-kanak penghuni terkawal.

"SOP pergaulan antara anak (anak asuhan di taska) tidak terbuka. Guru taska kekal dengan satu kumpulan.

"Kumpulan A, B, C dan D pula tidak bergaul secara bebas tetapi dihadkan pergaulan mereka. Ada SOP yang sudah kita lihat bersama dengan jabatan tertentu.

"Esok akan dibentangkan ke MKN dan diperhalusi. Jika diluluskan akan dipertimbangkan buka taska, tetapi bila nak buka, itu akan kita tentukan dalam mesyuarat MKN itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memohon kepada kerajaan supaya semua hospital KKM mempunyai taska.

"Sekarang ada 112 taska di hospital. Kita mohon untuk semua hospital iaitu berjumlah 146 semuanya dilengkapi taska.

"Ini untuk kemudahan warga kerja KKM termasuk staf barisan hadapan. Taska ini perlu dipertimbangkan dibuka secara syif sebab petugas kita bekerja syif.

"Namun lebih baik anak duduk di rumah. Tetapi jika tak boleh sebab isu tiada sesiapa jaga anak di rumah, kita akan khaskan taska di hospital," katanya.

Disiarkan pada: June 1, 2020 @ 8:01pm
d