mutakhir

Sedia beku pengeluaran lesen jual arak [METROTV]

Oleh Zahratulhayat Mat Arif

KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersedia membekukan pengeluaran lesen penjualan minuman keras, susulan peningkatan jumlah kemalangan membabitkan pemandu mabuk.

Menterinya, Zuraida Kamarudin berkata, ia bagaimanapun tertakluk kepada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu dan perbincangan antara kementerian lain yang berkaitan.

"Kita perlu fokus kepada memperkasakan undang-undang dan hukuman mesti juga dinilai semula.

"Kita ada Akta Pengangkutan yang berada di bawah Kementerian Pengangkutan dan perkara ini (pembekuan lesen) juga berkaitan MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri)," katanya kepada media ketika melawat Gerai Rakyat di Langkap, Teluk Intan, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan negeri Datuk Abdul Yunus Jamahri.

Zuraida berkata, kementeriannya juga perlu mengkaji statistik kemalangan jalan raya yang membabitkan pemandu mabuk sebelum menghentikan pemberian lesen.

"Kerajaan perlu mengambil kira semua faktor sebelum membuat keputusan. Apa yang penting sekarang adalah hukuman ke atas pesalah dulu, dan di masa akan datang, kita tengok isu ini (hentikan lesen)," katanya.

Kebelakangan ini, kes kemalangan jalan raya membabitkan pemandu mabuk meningkat termasuk membabitkan kematian mangsa.

Dalam pada itu, mengenai Gerai Rakyat Langkap, kementerian itu memperuntukkan RM3 juta untuk menaik taraf gerai yang dijangka mengambil masa enam bulan.

Naik taraf itu akan menjadikan 40 gerai tersedia, berbanding 15 ketika ini.

Berita berkaitan:

  • 9 kemalangan maut angkara pemandu mabuk
  • Hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk, khayal
  • Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 10:55am
    d