mutakhir

Geng Latin tumpas, lapan kes pecah rumah selesai

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

POLIS menumpaskan Geng Latin didalangi empat lelaki warga asing yang aktif memecah rumah di Ampang sejak enam bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, kejayaan itu susulan laporan dibuat lelaki berusia 31 tahun, semalam yang menyedari rumahnya di Taman Melawati dipecah masuk ketika bangun tidur pada 7 pagi.

Katanya, mangsa membuat pemeriksaan dan mendapati bilik bawah serta atas rumah, berselerak sebelum menyedari beg kulit, wang tunai dan cakera keras hilang.

"Suspek dipercayai masuk melalui tingkap belakang yang diumpil dan keluar melalui tingkap sama.

"Susulan kejadian, anggota Balai Polis Taman Melawati yang melakukan ronda cegah jenayah terlihat kereta Mazda CX3 warna kelabu dinaiki tiga lelaki warga asing dalam keadaan mencurigakan di hadapan Jalan G1 Taman Melawati pada 10.30 pagi.

"Pemeriksaan nombor pendaftaran kenderaan mendapati ia palsu dan anggota menahan suspek berusia 21 hingga 49 tahun terpaksa menggunakan kekerasan minimum selepas suspek cuba melarikan diri," katanya pada sidang media, hari ini.

Video penahanan suspek turut tular di media sosial apabila seorang anggota polis dikatakan memijak suspek.

Noor Azmi mengakui pergelutan ketika penahanan itu namun, tidak membabitkan kecederaan dan menegaskan tindakan memijak seorang daripada suspek bukanlah untuk mencederakan.

"Ia hanya bagi mengelak suspek bangun kerana dia cuba melarikan diri. Tindakan wajar bagi mengelak berlaku sentuhan fizikal ketika negara masih berhadapan wabak Covid-19," katanya.

Menurutnya, suspek tidak mempunyai nombor dokumen perjalanan sah dan soal siasat ke atas mereka membolehkan seorang lagi suspek berusia 41 tahun ditahan di Setapak Central Mall, Taman Danau Kota.

Katanya, kereta digunakan dirampas bersama peralatan pecah rumah selain 11 jam pelbagai jenama, beg tangan, telefon bimbit, komputer riba, beg silang dan 95 keping mata wang asing.

Tangkapan itu menyelesaikan lapan kes jenayah berkaitan sekitar Taman Melawati dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 12:31pm
d