mutakhir

Seorang ditemui lemas, seorang lagi hilang

Oleh Roselan Ab Malek

SEORANG pekerja kebun Indonesia lemas manakala, rakannya hilang selepas rumah kongsi diduduki dekat tebing Sungai Chalit berhampiran Lata Berembun, Raub hanyut dibawa arus deras akibat 'kepala air', kelmarin.

Mayat Muhammed Junaidi, 21, ditemui pasukan penyelamat pada 3 petang semalam di beting pasir Sungai Pertang, empat kilometer (KM) dari rumah kongsi mereka.

Sementara rakannya dikenali, Wahyudin, 25, masih hilang dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih dijalankan.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian oleh pemilik kebun durian pada 10.30 pagi Ahad selepas mendapati rumah kongsi itu hilang dan pekerjanya tiada di lokasi.

"Dipercayai hujan lebat menyebabkan arus sungai deras dan berlaku kepala air yang menghakis tebing dan rumah kongsi berkenaan hanyut bersama mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, SAR yang digerakkan sejurus maklumat disertai 40 anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung.

Katanya, pencarian sepanjang sungai hingga ke Lembah Temir.

"Mayat Muhammed Junaidi ditemui pada 3 petang semalam tidak berpakaian dengan separuh badan tertimbus pasir. Mayat dibawa ke Hospital Raub. SAR hari ini diteruskan mencari seorang lagi mangsa," katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 1:24pm
d