mutakhir

Penjara 33 bulan ceroboh istana, khianat [METROTV]

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

PEMANDU lori dijatuhi hukuman penjara dua tahun sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, hari ini atas empat tuduhan termasuk melakukan khianat dan menceroboh Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, minggu lalu.

Keputusan dibuat Majistret Nurul Asyifa Redzuan selepas tertuduh, Mohammad Lokman Mohammad Termizi, 30 mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara 12 bulan masing-masing untuk pertuduhan pertama dan keempat, manakala penjara tiga bulan dan enam bulan bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

Nurul Asyifa juga mengarahkan hukuman berlangsung berasingan bermula tarikh tertuduh ditangkap.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan khianat dengan merempuh pintu pagar Istana Iskandariah, Kuala Kangsar yang menyebabkan kerugian kira-kira RM500 pada 7.40 pagi, 25 Mei 2020.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohammad Lokman didakwa menceroboh secara jenayah dengan memasuki kawasan istana itu yang digunakan sebagai tempat kediaman dan simpanan harta benda antara 7.40 pagi sehingga 8.15 pagi, tarikh sama.

Untuk kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 447 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau denda tidak lebih RM3,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 selepas tertuduh memiliki sepucuk pistol tiruan tanpa lesen pada tarikh, masa dan tempat sama.

Manakala, pertuduhan keempat, dia didakwa dengan niat menakutkan penjawat awam bertugas dengan mengacukan objek menyerupai pistol. Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Hasyutantee Khalil manakala, tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Hamzah.

Dalam pada itu, tertuduh juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar atas satu lagi pertuduhan iaitu membawa bersama sebilah pisau tanpa kebenaran ketika melakukan pencerobohan di kawasan Istana Iskandariah, pada tarikh dan masa sama.

Kesalahan boleh didakwa mengikut Seyksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan, dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dihukum penjara antara lima hingga 10 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Hakim Rohaida Ishak kemudian menetapkan tertuduh menjalani pemeriksaan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan selama 30 hari bermula 2 Julai depan, selepas tertuduh bersuara dengan memberi kenyataan yang menunjukkan tanda-tanda tidak siuman.

Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 1:55pm
d