mutakhir

Mayat tiada identiti di parkir

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

MAYAT lelaki tidak dikenali ditemui terbaring di kawasan lot tempat letak kereta di Jalan Puteri 4/9 Bandar Puteri, Serdang, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, anggota Balai Polis Puchong menerima maklumat melalui panggilan telefon daripada seorang wanita, memaklumkan ternampak lelaki terbaring di atas jalan dan tidak sedarkan diri.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan dan mayat lelaki itu tidak dapat dipastikan identitinya.

"Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan forensik hadir melakukan pemeriksaan dan mendapati tiada sebarang kesan kecederaan.

"Siasatan di lokasi juga tidak menjumpai sebarang senjata," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismadi berkata, petugas kesihatan hadir dengan berpakaian PPE dan mayat dihantar ke Hospital Serdang ujian saringan Covid-19 dan bedah siasat.

"Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Puchong Jaya di talian 03-80752222," katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 2:14pm
d