mutakhir

Pengasuh didakwa sebabkan bayi patah kaki

Oleh BERNAMA

SEORANG pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan cuai sehingga menyebabkan seorang bayi perempuan berusia lima bulan patah kaki kiri, tiga tahun lalu.

Kamsiah Abdul Karim, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Pantai Dalam pada 5 petang, 8 Jun 2017 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap satu haribulan dan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 30 Jun untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 2:43pm
d