mutakhir

Rokok seludup RM17.74 juta dirampas [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan penyeludupan lebih 19.35 juta batang rokok putih dan rokok kretek bernilai RM17.74 juta di Pelabuhan Pasir Gudang, Iskandar Puteri, dua minggu lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) JKDM, Datuk Johari Alifiah berkata, penyeludupan ditumpaskan selepas jabatan itu menahan dua kontena milik syarikat berasingan di pelabuhan itu pada 18 dan 19 Mei lalu.

Katanya, kedua-dua kontena yang berukuran 19.12 meter itu juga masing-masing mengikrarkan membawa barang dagangan klip besi keluli dari China dan peralatan aluminium dari Vietnam selain tersadai lebih sebulan di pelabuhan tanpa dituntut mana-mana pihak.

"Dalam kes pertama pada 18 Mei lalu kira-kira 12 tengah hari, JKDM menahan kontena mencurigakan dari China yang mengikrarkan membawa klip besi keluli, namun pemeriksaan mendapati ia mengandungi 8,757,200 juta rokok putih dan kretek daripada 44,810 karton bernilai RM2,205,304 juta dengan cukai RM6,000,282.40.

"Dalam kes kedua pada 10.50 pagi 19 Mei lalu, JKDM memeriksa kontena mencurigakan yang mengikrarkan membawa barangan aluminium dari Vietnam, sebaliknya pemeriksaan mendapati ia ia mengandungi 10.6 juta batang rokok daripada 53,000 karton bernilai RM1.48 juta dengan cukai RM8.05 juta, " katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, Gelang Patah, Iskandar Puteri, hari ini.

Johari berkata, seorang ejen penghantaran yang membuat pengikraran barangan bagi kontena dari Vietnam ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a)Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman maksimum 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih tinggi atau dipenjarakan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barangan termasuk rokok, minuman keras, dadah dan mercun boleh menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran.

Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 2:52pm
d