mutakhir

Orang ramai masih takut guna dobi layan diri

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

KEYAKINAN orang ramai untuk menggunakan dobi layan diri masih rendah selepas perkhidmatan itu dihentikan sementara waktu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

Presiden Persatuan Pengusaha Dobi Melayu Malaysia (PPDM) Abdul Jalil Ibrahim berkata, pendapatan pengusaha masih terjejas walaupun dobi layan diri sudah dibenarkan beroperasi pada 4 Mei lalu.

Menurutnya, pengusaha kini menjalankan operasi berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Kini dobi layan diri seperti mesin basuh dan mesin pengering akan disanitasi selepas digunakan pelanggan bagi menjamin kebersihan.

"Pengusaha dobi juga akan meletakkan pekerja di pusat dobi untuk memantau pelanggan agar mematuhi SOP seperti penjarakan sosial dan sanitasi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, ahli persatuan juga diingatkan agar menambah baik sistem perkhidmatan agar lebih berkualiti dan mementingkan kebersihan serta kesihatan pelanggan.

Beliau berkata, tindakan itu penting untuk mengembalikan keyakinan pelanggan bagi menggunakan semula perkhidmatan dobi layan diri.

"Impak Covid-19 begitu memberi kesan kepada pengusaha yang hilang lebih daripada separuh pendapatan.

"Jika ini berterusan, tidak mustahil lebih ramai pengusaha dobi layan diri akan gulung tikar," katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 3:41pm
d