mutakhir

Lawat penjara masih dilarang

Oleh Mahaizura Abd Malik

LARANGAN kepada mana-mana pelawat menziarahi penghuni penjara masih lagi dikekalkan buat masa ini bagi mengelak risiko penularan jangkitan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan kekal pendirian tidak akan membenarkan aktiviti ziarah ke penjara walaupun semakin banyak sekatan dan larangan kini dilonggarkan berperingkat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Daripada PKP dulu kita tidak benarkan sampai hari ini masih tidak dibenarkan.

"Kita takut (bila) datang orang luar bawa jangkitan dan sebagainya," katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, tiada keperluan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) termasuk membuat ujian saringan Covid-19 ke atas semua penjara di seluruh negara susulan seorang banduan warga asing di Sungai Buloh diuji positif wabak itu semalam.

"Prinsip kita sama hanya buat saringan di kawasan terbabit saja katakan kes di Penjara Sungai Buloh, hanya buat saringan banduan di situ saja.

"Di Sungai Buloh ada lapan blok satu blok saja kena (kes) jadi hanya blok berkaitan saja kita buat saringan kerana saya difahamkan penjara ini tidak bercampur-campur dengan blok lain.

"Setakat hari ini kita akan buat saringan keseluruhan 600 banduan blok itu saja tetapi kakitangan penjara 700 orang kita buat semua kerana mereka bekerja di semua blok penjara.

"Jadi tidak perlu penjara lain kecuali ada kes positif," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 4:54pm
    d