mutakhir

174,834 rakyat Malaysia di Singapura pulang setakat Ahad lalu.

Oleh Mohamed Farid Noh

SERAMAI 174,834 rakyat Malaysia yang bekerja dan belajar di Singapura direkodkan pulang sejak 18 Mac hingga Ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, mereka melalui prosedur ketat termasuk kebenaran Kedutaan Malaysia di republik itu selain saringan kesihatan dan kuarantin wajib.

Katanya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor mensyaratkan rakyat Malaysia di Singapura yang pulang perlu memenuhi syarat ditetapkan Kedutaan Malaysia di Singapura sejak 27 April lalu lagi.

"Setibanya mereka di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru atau Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Gelang Patah, mereka tertakluk kepada pemeriksaan dokumen oleh Jabatan Imigresen.

"Pemeriksaan juga dilakukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebelum menjalani proses saringan kesihatan serta prosedur kuarantin wajib yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berkaitan Kluster Depoh, Vidyananthan berkata, JIM hanya mempunyai satu depoh di negeri ini iaitu di Pekan Nanas dengan jumlah tahanan seramai 1,511 orang sehingga Ahad lalu.

"Setakat ini, tiada kes penularan wabak Covid-19 dilaporkan di depoh berkenaan.

"Langkah pencegahan ketat diambil bagi mengelakkan tahanan dan petugas dijangkiti termasuk melakukan operasi nyah cemar dan sanitasi bersepadu bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sejak April lalu.

"Semua serahan pendatang asing tanpa izin (Pati) kepada Jabatan Imigresen Malaysia wajib menjalani ujian calitan (swab test) dan Pati dengan keputusan negatif 19 sahaja akan diterima untuk ditempatkan di depoh tahanan," katanya.

Beliau berkata, selain itu, Jabatan Imigresen dan Pejabat Kesihatan Pontian turut melaksanakan tinjauan di sekitar kawasan depoh untuk membuat penilaian risiko jangkitan kepada tahanan.

"Ujian calitan turut dilaksanakan ke atas semua 186 petugas di depoh tahatan membabitkan pegawai, kakitangan, vendor masak dan vendor pembersihan semalam," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 4:55pm
    d